Friday, April 30, 2010

PAHANG

Saudara baru mohon rumah kos rendah


Mohd . Ridhuan Wong Abdullah, (tiga dari kanan) bersama isteri Ain Lam Abdullah, (dua kanan) bergambar bersama Ketua MCA Bahagian Kuantan, Ti Lian Ker (tiga kiri) yang sanngup membayar sewa rumahnya itu sebanyak RM400 sebulan.


KUANTAN 29 April - Sebuah keluarga saudara baru mungkin terpaksa kembali ke pondok buruk mereka di Taman Zurina di sini jika permohonan untuk mendapatkan rumah kos rendah gagal.

Mohd. Ridhuan Wong Abdullah, 55, yang menyewa sebuah rumah pangsa di Lorong Seri Teruntum di sini bersama isteri dan seorang anaknya kini sedang menunggu permohonan untuk mendapatkan rumah tersebut bagi meringankan beban sewa sebanyak RM500 sebulan.

Mohd. Ridhuan ketika ditemui memberitahu, dia telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri beberapa bulan lalu untuk mendapatkan rumah kos rendah tetapi sehingga kini masih belum mendapat jawapan.

''Dulu saya tinggal di pondok buruk tetapi terpaksa menyewa rumah pangsa ini demi keselamatan isteri yang mengandung dan anak yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan jantung.

''Oleh itu, saya amat berharap dapat memiliki sebuah rumah kos rendah dengan segera memandangkan pendapatan bulanan saya hanya RM500 dengan mengutip barangan terpakai," katanya.

Mohd. Ridhuan yang memeluk Islam sejak lapan tahun lalu mengahwini Ain Lam Abdullah, 37, dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Ali, 2.

Bagaimanapun, anak sulungnya disahkan menghidap jantung berlubang dan telah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Mohd. Ridhuan memberitahu, dia sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada Ketua MCA Bahagian Kuantan, Ti Lian Ker yang membayar sewa rumahnya itu sebanyak RM400 sebulan sejak Oktober lalu.

Dia juga menerima sebanyak RM160 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, dia amat berharap kerajaan negeri dan agensi berkaitan segera meluluskan permohonannya untuk mendapatkan sebuah rumah kos rendah.

Sesiapa yang ingin membantu Mohd. Ridhuan boleh menghubungi Ketua MCA Cawangan Kampung Jawa, Ngoh Tian Meng di talian 019-9875393.